Thursday, September 5, 2013

3 Syarat Guna Logo 1Malaysia Best


MUAR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menetapkan tiga syarat ketat kepada pengusaha hasil burung walet yang ingin menggunakan jenama 1Malaysia Best pada produk masing-masing sebelum memasuki pasaran eksport termasuk ke China.


Syarat itu merangkumi Sijil Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Sijil Kesihatan Veterinar daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) serta Sijil Kesihatan Makanan daripada Kementerian Kesihatan.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar, berkata langkah terbaru itu bagi memastikan kualiti produk yang dihasilkan menepati piawaian ditetapkan terutama bagi tujuan eksport.


“Langkah itu diambil selepas China menarik balik larangan import sarang burung walet dari Malaysia susulan kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke negara itu awal bulan ini.

“Di China, syarikat Malaysia juga mesti memiliki rakan perniagaan di sana bagi memudahkan eksport sarang burung walet dari Malaysia dipantau,” katanya ketika berucap sempena majlis pemimpin peladang Johor bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, di sini, semalam.

Noh berkata, pihaknya sentiasa memberi perhatian terhadap projek pertanian berimpak tinggi seperti burung walet, ikan hiasan serta rumpai laut kerana ia mampu memberi pulangan lumayan kepada petani yang mengusahakannya.


Bagaimanapun, katanya, apabila ia tidak dikawal pelbagai perkara boleh berlaku yang boleh mengakibatkan kerugian selepas mengeluarkan modal yang banyak untuk memulakannya.
“Sarang burung walet itu sesuai untuk konsep pertanian 3T (tanam, tinggal dan tuai) tetapi ia perlu dikawal, arowana juga sudah ada sedikit masalah ketika ini kerana semua orang nak buat.


“Bagi burung walet, kita sudah selesaikan syarat kandungan nitrat dalam produk itu iaitu tidak melebihi paras 30 bahagian per juta (ppm) seperti diminta pihak berkuasa China dan saya sudah pergi jumpa pihak di sana bersama Menteri Kesihatan dan ia sudah diselesaikan.



“Kita juga sudah buat draf protokol iaitu Prosedur Standard Operasi (SOP) yang akan kita tandatangani sebelum sarang burung walet itu boleh dieksport,” katanya.

No comments:

Post a Comment