MAKANAN ROHANI



Cara makan dan beberapa jenis makanan yang mendapat keberkatan

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji hanya kepunyaan Allah, semoga selawat dilimpahkan kepada junjungan umat, Nabi besar Muhammad ε, tiada lagi Nabi sesudahnya

Keberkatan mulai makan dan minum dengan (Bismillah)

Kita seharusnya memulai makan makanan dengan menyebut nama Allah
(Bismillah)
Ulama’-ulama’ hadis tiada perbezaan dalam menyebut Bismillah ketika makan. Tetapi yang berbeza pendapat disini adalah Bismillahirahmanirrahim. Mengikut hadis-hadis yang soheh, kita hendaklah mengucapkan bismillah sahaja tanpa tambahan Arrahmanirrahim. Semoga pembaca dapat memahami persoalan ini. Kita ikuti hadis-hadis di bawah.

Diriwayatkan dari Umar bin Abi Salamah r.a bahawa ia berkata, Rasulullah saw bersabda kepadaku:

“Sebutlah nama Allah(Bismillah)! Makanlah dengan tangan kananmu, dan makanlah dari yang dekat denganmu”.
H/R Muslim dan Ibnu Majah

Diriwayatkan oleh Jabir r.a bahawa ia berkata: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda:

“Apabila seseorang masuk ke rumahnya lalu berzikir kepada Allah ketika masuk dan ketika makan, maka syaitan berkata kepada kawan-kawannya: “Tidak ada tempat menginap dan makan malam untuk kamu”. Adapun apabila seseorang yang masuk ke rumahnya dan tidak berzikir kepada Allah, maka syaitan berkata kepada kawannya: “Kamu memperolehi tempat menginap”. Dan ketika seseorang makan, sedang ia tidak berzikir kepada Allah, maka syaitan berkata pada kawannya: “Kamu memperolehi tempat menginap dan makan malam”.
H/R Muslim

Diriwayatkan dari Huzaifah bahawa ia berkata:

“Dulu bila kami menghadiri jamuan makan, tangan kami tidak berani menyentuhnya sebelum Rasulullah saw meletakkan tangannya terlebih dahulu. Satu saat, kami mendatangi jamuan makan lalu datanglah seorang wanita tergesa-gesa, seakan-akan ada sesuatu yang mendorongnya. Ia langsung menyentuhkan tangannya ke makanan itu, tetapi Rasulullah saw menahan tangannya. Lalu datang pula seorang badui terburu-buru, sepertinya ada sesuatu yang mendorongnya. Ia langsung menyentuh ke makanan itu, tetapi Rasulullah menahan tangannya. Lalu beliau bersabda:
“Sesungguhnya syaitan itu merebut makanan yang tidak disebut nama Allah(Bismillah) padanya. Sesungguhnya syaitan menyertai orang badui itu untuk merebut makanan, maka aku pegang tangannya. Kemudian ia datang bersama wanita ini untuk merebut makanan, maka aku tahan tangannya. Demi Dzat yang jiwaku berada dalam genggamanNya, sunguh syaitan itu aku pegang bersama-sama dengan kedua tangan orang ini”.
H/R Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Nasa’i

Apabila seseorang itu terlupa menyebut nama Allah apabila ingin makan, akan tetapi dia teringat apabila sudah makan, maka disunnahkan menyebut doa di bawah ini berdasarkan sebuah hadis yang berikut ini.

“Rasulullah saw bersabda:

“Siapa sahaja yang lupa menyebut nama Allah Azza Wa Jalla sebelum makan, maka hendaklah ia mengucapkan:

“Bismillahi awwalahu wa akhirahu”
(Dengan menyebut nama Allah di awal dan di akhirnya)

Kerana sesungguhnya ia seperti orang yang menghadapi makanan baru atau keburukan yang menimpa makanan itu akan tercegah”
H/R Ibnu Hibban, Ibnu Sunni dan Thabrani

Perlu diingatkan kepada semua kaum muslimin bahawa makanan Iblis adalah makanan manusia yang makan tidak menyebut nama Allah (Bismillah). Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas bahawa ia berkata: Rasulullah saw bersabda:

“Iblis bertanya kepada Allah: “Setiap makhlukMu telah engkau jelaskan rezekinya, lantas di manakah rezekiku?” Dia (Allah) berfirman: “Pada makanan yang tidak disebut namaKu apabila memakannya”.
Lihat Silsilah Al-Hadis As Sohehah hadis no 708


Perhatian!!!
Mengenai doa makan Allahumma bariqlana fima razqtana waqina ‘azabannar, adalah doa yang perlu ditinggalkan. Ini kerana hadis yang berkaitan dengan doa tersebut adalah hadis yang dhaif (lemah). Tidak boleh diamalkan. Hanya yang sah dari Nabi saw ialah dengan menyebut nama Allah (Bismillah)



Di antara petunjuk Nabi saw ialah memuji Allah ketika ingin makan dan minum dan selepasnya.

Diriwayatkan dari Anas r.a bahawa ia berkata: Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya Allah bernar-benar redha kepada seorang hamba yang memakan suatu makanan atau meminum suatu minuman, setelah itu memujiNya”.
H/R Ahmad dan Ibnu Sunni

Disunnahkan kita menyebut nama Allah (Bismillah) sekiranya kita tidak tahu sesuatu makanan atau sembelihan yang tidak disebut nama Allah (Bismillah) di dalamnya. Ini berdasarkan riwayat dari ‘Aisyah yang menyebutkan:

“Suatu kaum pernah berkata kepada Rasulullah “Wahai Rasulullah, ada suatu kaum membawakan kepada kami masakan daging. Kami tidak tahu apakah mereka menyebut nama Allah (Bismillah) atau tidak (ketika menyembelihnya). Rasulullah saw bersabda: “Sebutlah nama Allah (Bismillah), lalu makanlah”.
H/R Bukhari, Ibnu Majah dan Nasa’i

Setelah selesai dari makan dan minum, disunnahkan membaca doa yang akan disebutkan pada hadis di bawah.

Diriwayatkan dari Mu’adz bin Anas bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Barangsiapa memakan satu makanan, lalu berdoa:

“Alhamdulillahillazi At ‘amani hazatto ‘ama warazaqanihi min ngaiharihaulim minna wala quwwat”
(Segala puji bagi Allah yang menganugerahkan kepadaku makanan ini dan telah menjadikan segahagian rezekiku, tanpa daya dan kekuatan dari diriku sendiri)

Niscaya diampuni dosanya yang telah lalu”
H/R Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi

Keberkatan makan beramai-ramai (Berjama’ah)

Ramai yang tidak mengetahui bahawa makan beramai-ramai (bersama-sama) adalah satu cara atau amalan yang mendapat keberkatan dari Allah swt. Apabila keluarga itu hanya dua orang (suami dan isteri) maka makanlah bersama setiap kali ingin makan. Jika tiga orang makanlah bersama. Sekiranya sepuluh orang sekali pun hendaklah makan bersama-sama kerana ia akan mendapat keberkatan dari Allah swt. Mari kita lihat dalil-dalilnya.

Diriwayatkan dari Wahsyi bin Harb dari bapanya dari atuknya bahawa ia berkata:

“Para sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami kalau makan tidak merasa kenyang. Beliau bersabda: “Barangkali kamu makan sendiri-sendiri”. Mereka menjawab: “Benar wahai Rasulullah”. Beliau bersabda: “Berkumpullah ketika makan dan sebutlah nama Allah Ta’ala (Bismillah)! Niscaya Dia akan memberkati makanan kamu”.
H/R Ahmad, Abu Daud, Baihaqi, Ibnu Majah dan Hakim

Dari Umar bin Khattab r.a bahawa ia berkata: “Rasulullah saw bersabda:

“Makanlah dengan berkumpul dan jangan sendiri-sendiri! Makanan satu orang cukup untuk dua orang,makanan dua orang cukup untuk tiga atau empat orang. Makanlah dengan berkumpul dan jangan sendiri sendiri! Kerana berkat itu ada dalam Jama’ah.
Lihat Soheh Al Jame’ hadis no 1687

Rasulullah saw bersabda:

“Makanan yang paling disukai Allah adalah makanan yang dijamah banyak tangan”.
H/R Abu Ya’la, Ibnu Hibban, Baihaqi dan Adh Dhiya

Hadis hadis di atas juga mengisyaratkan bahawa apabila perasaan untuk menghiburkan perasaan orang lain itu hadir, maka akan muncullah keberkatan yang menyeluruh kepada orang-orang yang hadir. Juga sebaiknya, seseorang janganlah meremehkan makanan miliknya, sehingga merasa berat untuk memberikannya. Sesungguhnya yang sedikit kadang-kadang memberikan kecukupan iaitu boleh menutup hajat dan meluruskan niat, bukan merasa kenyang sendirian.

Lihat: Fathul Bari. Ibn Hajar Al Asqalani

Keberkatan memulai makan makanan yang berdekatan

Kita disunnahkan makan makanan yang berdekatan terlebih dahulu. Contohnya apabila ingin memakan makanan yang berada di dalam pinggan, hendaklah memakan di bahagian depan terlebih dahulu supaya mendapat keberkatan oleh Allah swt.

Ibnu Abbas r.a meriwayatkan dari Nabi saw bahawa beliau bersabda:

“Berkat itu turun di tengah-tengah makanan, Maka, makanlah mulai tepi dan jangan mulai makan dari tengah”
H/R Ahmad, Ibnu Majah, Tirmizi dan Abu Daud

Diriwayatkan dari Umar bin Abi Salamah r.a bahawa ia berkata, Rasulullah saw bersabda kepadaku:

“Sebutlah nama Allah(Bismillah)! Makanlah dengan tangan kananmu, dan makanlah dari yang dekat denganmu”.
H/R Muslim dan Ibnu Majah

Diriwayatkan dari Abdullah bin Busr bahawa ia berkata: Rasulullah saw bersabda:

“Makanlah mulai dari tepi-tepinya dan biarkanlah dahulu tengahnya! Niscaya akan diberkati”.
H/R Abu Daud dan Baihaqi

Keberkatan jangan makan terlampau banyak seperti orang kafir

Janganlah kita menyerupai orang kafir dalam cara memakan makanan. Kerana nafsu orang kafir melampau batas kerana didorongi oleh nafsu semata. Kita lihat hadis di bawah.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a ia berkata Rasulullah saw bersabda:

“Orang muslim itu makan dengan satu perut, sedangkan orang kafir dengan tujuh perut”.
H/R Malik, Bukhari, Muslim, Ibnu Majah dan selainnya

Dalam riwayat Bukhari disebutkan dengan lafal:

“Ada seorang lelaki kafir yang makannya banyak sekali, lalu ia pun masuk Islam. Setelah itu, makannya menjadi sikit. Hal itu diberitahukan kepada Rasulullah saw. Maka beliau bersabda: ““Sesungguhnya orang muslim itu makan dengan satu perut, sedangkan orang kafir dengan tujuh perut”.
H/R Bukhari
Keberkatan menjilat (mengulum)
jari jemari tangan (kanan) setelah selesai makan

Ramai yang meremehkan dan mencerca orang yang menjilat (mengulum) jari tangan selepas makan. Ini adalah sunnah yang besar dari Rasulullah saw. Ia membuatkan seseorang mendapat berkat dari perbuatan tersebut. Ini berdasarkan hadis-hadis Rasulullah saw. di bawah.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Apabila salah seorang dari kamu selesai makan, hendaklah ia menjilati (mengulum) jari jemarinya! Sesungguhnya seseorang tidak tahu bahagian mana makanan itu mengandungi keberkatan.
H/R Ahmad dan Tirmizi

Dari Ibnu ‘Abbas bahawa ia berkata: Rasulullah saw bersabda:

“Apabila salah seorang dari kamu makan, janganlah ia mengusap telapak tangannya dengan sapu tangan sebelum dirinya atau orang lain menjilati sisa makanan yang melekat”.
H/R Ahmad, Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Baihaqi

Abu Zubair berkata: “Aku mendengar Jabir bin Abdullah mengatakan: “Aku mendengar Nabi saw bersabda:

“Janganlah seseorang mengangkat pinggannya (sesudah makan), sebelum ia menjilati atau menjlatkan kepada orang lain sisa-sisa yang masih melekat pada piring tersebut! Sebab, pada akhir makanan itu ada berkatnya”.
Lihat Silsilah Al-Hadis As Sohehah hadis no 311


Keberkatan mengutip semula makanan yang jatuh, dibersihkan dan dimakan semula

Disunnahkan apabila makanan yang jatuh dan diyakini makanan tersebut boleh dibersihkan dan tidak terlalu kotor, dikutip lalu dibersihkan dan dimakan semula. Ini kerana kita tidak tahu kemungkinan makanan yang jatuh itulah yang mendapat keberkatan dari Allah swt. Dan makanan yang terjatuh jika tidak dikutip semula adalah makanan syaitan. Jangan meremehkan walaupun kita mampu membeli makanan yang lain tetapi yang lebih baik ialah makanan yang diberkati Allah dari makanan yang baru tidak diberkati Allah.

Dari Anas r.a bahawa ia berkata:

“Dahulu apabila Rasulullah saw selesai makan, beliau menjilati ketiga jarinya seraya bersabda: “Apabila suapan salah seorang dari kalian terjatuh, hendaklah ia membersihkannya dan memakannya. Jangan biarkan makanan itu di makan syaitan! Juga, hendaknya kalian membersihkan sisa makanan yang berada di pinggan. Sebab, kamu tidak tahu pada bahagian mana dari makanan kamu yang mengandungi keberkatan”.
H/R Ahmad dan Muslim

Keberkatan jangan memakan makanan yang sangat panas

Kita seharusnya apabila ingin memakan makanan yang baru lepas dimasak, hendaklah dibiarkan terlebih dahulu asap panasnya keluar dan biarkan ia sejuk sedikit. Ini kerana keberkatan tidak diperolehi pada makanan yang panas. Keberkatan yang banyak diperolehi ketika makanan telah hilang asap panasnya dan tidak berapa panas (suam)
Kita teliti hadis-hadis yang berkaitan.

Diriwayatkan oleh Asma’ binti Abu Bakar r.a bahawa:

“Apabila dirinya membuat tsarid (bubur daging), ia menutupinya dengan sesuatu sehingga hilanglah asap panasnya. Ia menuturkan, “Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: “Hal itu merupakan berkat yang paling besar, iaitu makan yang hilang rasa panasnya”.
H/R Ad Darimi, Ibnu Hibban, Hakim, Ibnu Abi Dunya dan Baihaqi

Rasulullah saw bersabda:

“Janganlah makan makanan, kecuali hingga hilang asap panasnya”.
H/R Baihaqi

Keberkatan jangan Mencela Makanan Dan Sunnahnya Memuji Makanan

Dari Abu Hurairah r.a., katanya:

"Rasulullah s.a.w. itu tidak pernah mencela samasekali pada sesuatu makanan. Jikalau beliau s.a.w. ingin pada makanan itu beliaupun memakannya dan jikalau tidak menyukainya, maka beliau tinggalkan - tanpa mengucapkan celaan padanya."
(Muttafaq 'alaih)

Dari Jabir r.a.:

Bahwasanya Nabi s.a.w. meminta lauk pauk kepada keluarganya,
lalu mereka berkata: "Tidak ada yang kita punyai melainkan cuka. Beliau s.a.w. lalu
memtntanya dan mulailah beliau makan serta bersabda: "Sebaik-baik lauk pauk ialah cuka, sebaik-baik lauk pauk ialah cuka."
(Riwayat Muslim)

Makruhnya Makan Sambil Bersandar

Dari Abu Juhaifah yaitu Wahab bin Abdullah r.a., katanya:

"Rasulullah s.a.w.bersabda: "Saya tidak akan makan sambil bersandar."
(Riwayat Bukhari)

Dari Anas r.a., katanya:

"Saya melihat Rasulullah s.a.w. makan kurma sambil duduk berjongkok."
(Riwayat Muslim)

JENIS-JENIS MAKANAN DAN MINUMAN YANG BESAR KEBERKATANNYA

Tsarid (Bubur Daging)

Tsarid (bubur daging) memiliki keutamaan dibandingkan makanan yang lain, di antara banyaknya hadis soheh menyebutkan keutamaan tersebut. Sebagamana disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Nabi saw bahawa beliau bersabda:

“Keutamaan ‘Aisyah dibandingkan semua wanita, bagaikan keutamaan tsarid (bubur daging) atas semua makanan”.
H/R Muslim

Diriwayatkan dari Salman Al-Farisi secara marfu’ bahawa Nabi saw bersabda:

“Keberkatan itu terdapat di dalam tiga perkara: berjamaah, tsarid (bubur daging) dan makan sahur”.
Lihat Silsilah Al Hadis As Sohehah, hadis no 1045

Diriwayatkan dari Asma’ binti Abu Bakar r.a bahawa:

Apabila dirinya membuat tsarid (bubur daging), ia menutupinya dengan sesuatu sehingga hilang asapnya. Ia berkata: “Aku mendengar Rasulullah saw bersabda”: “Sesungguhnya Tsarid (bubur daging) merupakan berkat yang paling besar”.
H/R Ahmad dan Ad Darimi

Ibnu Qayyim Al-Jauziah berkata: “Meskipun tsarid(bubur daging) merupakan makanan campuran. Tetapi ia campuran dari roti dan daging. Roti adalah makanan terbaik dan daging adalah lauk yang terlazat. Bila keduanya bercampur, maka tidak ada lagi yang menyamainya”.
Lihat: Zadul Ma’ad jilid 4 halaman 265

Susu

Berkenaan dengan keberkatan susu, ada beberapa hadis yang menyebutkan keutamaan tersebut. Sebagaimana hadis berikut ini yang diriwayatkan dari Ummu Salim Ar-Rasin bahawa ia berkata: “Aku mendengar ‘Aisyah r.a mengatakan:

“Apabila dihidangkan susu kepada Rasulullah saw, beliau bersabda: “Keberkatan atau dua keberkatan”.
H/R Ibnu Majah

Dari ‘Aisyah r.a bahawa ia mengatakan:

“Apabila Rasulullah saw diberi susu, beliau bersabda: “Betapa banyak rumah yang di dalamnya terdapat satu keberkatan atau dua keberkatan”.
H/R Ahmad


Kurma

Berkenaan dengan keberkatan kurma, ada beberapa hadis yang menyebutkan keutamaan tersebut. Sebagaimana hadis berikut ini yang diriwayatkan dari Anas r.a bahawa ia berkata: “Rasulullah saw bersabda:

“Sebaik baik kurma adalah al-barniy. Ia boleh menghilangkan penyakit dan tidak mengandungi penyakit”.
H/R Ibnu Adi, Baihaqi dan Ad Dhiya

Rasulullah saw juga bersabda:

“Rumah yang tidak ada kurma di dalamnya, maka kelaparanlah bagi penghuninya atau laparlah penghuninya”.
H/R Muslim dan Tirmizi

Diriwayatkan dari Ubaidillah bin Rafi’ dari neneknya, Salma r.a bahwa Rasulullah saw bersabda:

“Rumah yang tidak ada kurma di dalamnya, bagaikan rumah yang tidak ada makanannya”
Lihat Silsilah Al Hadis As Sohehah, hadis no 1776

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma”.
H/R Ibnu Hibban dan Baihaqi

Keberkatan kurma ‘Ajwah Madinah

Diriwayatkan dari ‘Aisyah r.a bahawa ia berkata: Rasulullah saw bersaba:

“Pada kurma ‘ajwah ‘aliyah dipermulaan pagi sebelum sarapan adalah penyembuh dari setiap sihir dan racun”.
H/R Ahmad

Juga dikeluarkan muslim dengan lafal yang tidak disebutkan kata “’Alariq”:

“Di dalam kurma ‘ajwah’aliyah terdapat penyembuh atau ubat penawar racun di pagi hari”
H/R Muslim

Sheikh Al-Albani mengatakan “Hadis ini memiliki penguat dari hadis Sa’d bin Abi Waqqash yang marfu’ dengan lafal:

“Siapa saja makan tujuh kurma ‘ajwah tanah Madinah sebelum sarapan, tidak ada sesuatu pun yang membahayakannya pada hari itu hingga pagi”. Perawi berkata:
“Aku menduga beliau bersabda: “Dan jika memakannya ketika petang, tidak ada sesuatu pun yang membahayakan hingga pagi”.

Madu

Adapun madu lebah, maka berkatnya besar sekali. Cukuplah kita mendapatkan penjelasan mengenai keberkatan ini dari firman Allah Ta’ala:

“Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah, “Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibuat manusia!. Kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu)! Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapt ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang memikirkan.
Surah An-Nahl ayat 68-69

Allah swt telah mamuliakan madu dengan menjadikannya minuman untuk penduduk syurga sebagaimana firmannya:

“…Dan sungai-sungai dari madu yang disaring. Dan mereka memperolehinya didalam segala macam buah-buahan dan ampunan dari Tuhan mereka….
Surah Muhammad ayat 15

Keutamaan madu juga disebutkan dalam banyak hadis Rasulullah saw. Kita teliti hadis-hadis berikut.

“Diriwayatkan dari Ibnu Mas’ud r/a bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Madu adalah penyembuh segala penyakit, sedang Al-Quran adalah penyembuh segala penyakit di dalam dada. Maka dari itu, hendaklah kalian berubat dengan dua penyembuh, iaitu Al-Quran dan Madu”.
H/R Ibnu Majah dan Hakim

“Diriwayatkan juga dari Ibnu Mas’ud r/a bahawa Rasulullah saw bersabda:

Hendaklah kamu berubat dengan dua penyembuh, Madu dan Al-Quran”.
H/R Ibnu Majah, Ibnu Mardawaih dan Hakim

Madu benar-benar adalah ubat yang hebat sebagaimana yang diriwayatkan Abu Sa’id Al-Khudri r.a bahawa ia berkata:

“Ada seorang lelaki datang kepada Nabi saw lalu berkata: “Ya Rasulullah, saudaraku sakit perut”. Rasulullah bersabda kepadanya: “Minumkan madu padanya! Orang itu melakukannya, lalu datang kembali kepada beliau dan berkata: “Aku telah memberinya madu, tetapi malah bertambah sakit”, Orang itu mengulangi sampai tiga kali. Ketika ia datang ke empat kalinya, Rasulullah saw bersabda padanya: “Minumkan madu padanya! Orang itu berkata: “Aku telah memberinya madu, tetapi bertambah sakit”. Rasulullah saw bersabda: “Maha benar Allah dan berdustalah perut saudaramu, minumkan madu padanya!” Orang tu melakukannya dan sembuhlah sakit saudaranya itu”.
H/R Bukhari dan Muslim


Air Zam-Zam

Sesungguhnya sebaik-baik air yang ada di bumi dan yang paling bermanfaat adalah air zam-zam. Di dalamnya terdapat penyembuh dari segala penyakit, pengenyang dari setiap rasa lapar dan penyegar dari rasa haus. Ini sebagaimana yang diriwayatkan dari Ubadah bin Shamit r.a bahawa ia berkata:

Abu Dzar menuturkan dalam hadis yang panjang, lalu ia menyebutkan pertanyaan Nabi saw kepadanya, Sejak bila kamu di sini? Aku (Abu Dzar) menjawab, Kami di sini sejak 30 hari, siang dan malam”. Beliau saw bertanya: “Siapa yang memberikan kamu makan? Aku menjawab: “Tidak ada makanan padaku kecuali air zam-zam. Aku menjadi gemuk sampai perutku buncit, dan tidak aku dapati rasa lapar dalam perutku. Lantas beliau saw bersabda: “Sesungguhnya itu air yang diberkati, makanan yang mengenyangkan dan penyembuh penyakit”.
H/R Muslin dan At Thayalisi

“Rasulullah saw juga bersabda:

“Sesungguhnya itu air yang diberkati. Ia makanan yang mengenyangkan dan penyembuh penyakit”.
H/R Abu Daud an At Thayalisi

Dari Abu Dzarr bahawa ia berkata: Rasulullah saw bersabda:

“Air zam-zam adalah makanan yang mengenyangkan dan penyembuh penyakit”.
H/R Ibnu Abi Syaibah dan Al Bazzar


Dari Ibnu Abbas r.a bahawa ia berkata: Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya sebaik-baik air yang ada di bumi adalah air zam-zam. Di dalamnya terdapat pengenyang dari segala rasa lapar dan penyembuh penyakit. Dan seburuk-buruk air yang ada di bumi adalah air yang ada di lembah Badhut daerah Hadramaut, seperti kaki serangga belalang. Kalau pagi memancar dan petang hari tidak ada airnya”
H/R Thabrani dan Ad Dhiya

Minyak dari Pokok Zaitun

Cukuplah sebagai dalil untuk kita akan keberkatan pokok zaitun sebagaimana firman Allah swt:

“Allah (pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi, Perumpamaan cahaya Allah adalah seperti satu lubang yang tidak tembus yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca, (dan) kaca itu seakan-akan bintang (bercahaya) seperti mutiara yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang banyak berkatnya, (iaitu) pokok zaitun yang tumbuh tidak disebelah timur dan tidak pula di sebelah barat, yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis)…….
Surah An Nuur ayat 35

Dari Abi Usaid Al-Anshari bahawa ia berkata: Rasulullah saw bersabda:

“Makanlah minyak zaitun! Sesungguhnya ia diberkati. Berlauklah dengannya dan berminyaklah dengannya! Sesungguhnya ia keluar dari pokok yang diberkati”
H/R Ahmad, Ad Darimi dan Tirmizi

Hadis di atas juga tetapi diriwayatkan dengan lafaz yang berbeza-beza, iaitu hadis dari Umar, Abu Usaid, Abu Hurairah, Abdullah bin Abbas tentang sabda Nabi saw:

Makanlah minyak zaitun dan berminyaklah dengannya! Sesungguhnya ia dari pokok yang diberkati”.
Lihat Silsilah Al Hadis As Sohehah, hadis no 379


Alhamdulillah dengan izin Allah swt, telah berjaya saya susunkan untuk pembaca tentang. Semoga artikel ini dapat memberikan Ilmu yang bermanfaat kepada pembaca dan diharap ilmu ini dapat disebarkan,  mudah bukan cara mendapat keberkatan pada makanan dan jenis-jenis makanan yang mendapat keberkatan yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya, InsyaAllah.


No comments:

Post a Comment