Saturday, August 3, 2013

Walit - Artis Pun Berminat

Selepas kukuh dalam kerjaya lakonan, pelakon Fouziah Gous memberanikan diri mencuba bidang yang jarang dilakukan oleh golongan Melayu iaitu perusahaan industri sarang burung walit.

Fouziah berkata, dia telah mempelajari selok belok perniagaan sarang burung walit selama setahun dan ingin mengajar masyarakat Melayu tentang kebaikannya yang diterajui oleh golongan bangsa Cina sejak dahulu lagi.

“Perniagaan sarang burung walit antara perniagaan yang sangat menguntungkan. Bagi orang Cina, sarang burung ini adalah emas.

“Saya telah menjalani beberapa kursus dan mempelajari mengenai apakah burung Walit itu sehingga ia menghasilkan sarang.



“Kalau boleh, saya mahu mendidik golongan Melayu untuk mengenali perniagaan ini lebih-lebih lagi ia digunakan sebagai makanan kesihatan untuk mata, asma serta agen terbaik memulihkan sistem pernafasan dan memperkuatkan paru-paru,” katanya.

Tambah Fouziah, sarang burung Walit juga adalah pemangkin pertumbuhan sel, kulit dan penggunaan sarang burung secara jangka panjang akan mencantikkan permukaan kulit.

Dalam pada itu, Fouziah yang menjadi pengedar di bawah nama My Walet Bird Nest, akan mengedarkan produknya itu ke beberapa farmasi dan setakat ini ia masih lagi dalam persiapan label sebelum ianya dilancarkan.


“Tidak sabar rasanya mahu memasarkan produk ini kerana ia benar-benar bagus. Memperkenalkan produk ini kepada orang Melayu juga merupakan satu cabaran buat saya, diharapkan ia berjaya,” tuturnya bersemangat.



Walit - Modal & Pulangan, Untung & Rugi

PENDAPATAN LUMAYAN HASIL SARANG BURUNG WALIT

Oleh MARZITA ABDULLAHutusanperlis@utusan.com.my

KANGAR 25 Nov. – Industri penternakan burung walet atau nama saintifiknya, ‘aerodramus fuciphagus’ untuk mendapatkan sarangnya semakin popular di negara ini malah Perlis juga tidak ketinggalan terlibat dalam industri berkenaan.
Potensi besar industri itu ke pasaran antarabangsa menyebabkan Agrobank bersetuju mengeluarkan pembiayaan berjumlah RM67.7 juta kepada mereka yang berminat menceburi industri sarang burung walet.
Sarang burung walet mampu memberi pendapatan lumayan dengan permintaan yang tinggi di luar negara.
Menurut beliau, pada masa ini Pembiayaan itu disediakan melalui peruntukan yang diberikan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bertujuan menggalakkan pelaburan di dalam industri berkenaan berikutan permintaan tinggi terutamanya di China.
Secara umumnya, sarang burung walet ini diperbuat daripada air liur haiwan berkenaan dan mempunyai kualiti tertentu dengan nilai harga yang berbeza berdasarkan jenis dan warna.
Lazimnya, sarang burung berwarna hitam dijual pada harga RM1,500 sekilogram, yang berwarna putih RM3,000 sekilogram manakala kuning RM25,000 sekilogram dan merah RM45,000 sekilogram.
Dianggarkan sehingga kini terdapat lebih 10,000 premis membela burung walet di seluruh negara dengan nilai eksportnya lebih RM500 juta malah menjelang 2015 industri tersebut dijangka menyumbang sebanyak RM5 bilion kepada pendapatan negara.
Sarang burung walet disahkan Kementerian Kesihatan sebagai bersih dan boleh dimakan serta burung itu tidak membawa vektor penyakit.


Bagi menggalakkan industri berkenaan berkembang di Perlis, kerajaan negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan mewujudkan model rumah penternakan burung walet yang hanya bermodalkan RM50,000.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi negeri,Sabry Ahmad berkata, langkah tersebut bertujuan melahirkan usahawan-usahawan kecil dari kalangan para petani melalui tunjuk ajar JPV.

“Pada masa ini JPV telah membina rumah berkenaan di Batu 20, Kaki Bukit di Padang Besar untuk dijadikan model kepada para usahawan kecil yang berminat dalam industri ini,” katanya.
Sabry berkata, JPV Perlis mempunyai keupayaan teknikal untuk memberi khidmat nasihat secara percuma terutama peralatan ujian panggilan burung walit.
“JPV Perlis juga telah berunding dengan JPV Sarawak untuk mendapat khidmat nasihat yang lebih luas mengenai penternakan burung berkenaan termasuk kos pembinaan rumah burung tersebut,” katanya.

Usaha yang dilakukan oleh JPV itu menurut beliau adalah untuk membuktikan bahawa projek penternakan itu tidak memerlukan kos yang tinggi dan boleh diceburi oleh masyarakat tempatan yang berpendapatan rendah.
“Daripada tinjauan kita mendapati kebanyakan pengusaha penternakan burung walet terpaksa mengeluarkan kos pembinaan rumah burung yang mencecah RM200,000 tetapi ia masih tidak berjaya menarik perhatian burung-burung ini untuk mendiami rumah tersebut,” katanya.

Sarang burung walet mampu memberi pendapatan lumayan dengan permintaan yang tinggi di luar negara.

Menurut beliau, pada masa ini Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Agrobank telah menyediakan peruntukan kepada mereka yang berminat untuk menceburi industri sarang burung walet.


Melalui usaha JPV itu, Sabry berkata, ia akan mewujudkan struktur bangunan pemeliharaan burung walet yang standard di samping menjamin pemuliharaan alam sekitar.

Beliau berkata, JPV juga akan mengetuai pemantauan terhadap pemeliharaan burung berkenaan di negeri ini sejajar garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan Pusat.
Dalam pada itu, pengusaha burung walet, Abdul Hamid Ahmad berkata, penternakan burung walet memerlukan kesabaran untuk mendapatkan keuntungan selain kos yang tinggi dalam pembinaan bangunan.

Dia yang mengusahakan penternakan itu di rumahnya di Padang Besar Selatan berkata, pada awalnya pelbagai masalah ditempuhi terutama ketiadaan burung walet yang singgah dalam bangunan yang dibinanya.

“Pada awalnya saya rasa bangunan yang dibina sudah lengkap namun ia gagal menarik minat burung walet walaupun telah dipasang pembesar suara, rupa-rupanya burung ini memerlukan tempat yang lembap,” katanya.
Kesungguhan Abdul Hamid dalam industri tersebut membuatkan dia tidak berkira untuk melaburkan modal yang besar dan sanggup memasang pendingin udara dalam bangunan itu.
Menurutnya, dia mempelajari teknik-teknik menternak burung walet daripada seorang rakan berbangsa Cina dan telah mengubah suai rumah tetamu setingkat di sebelah rumah kediamannya menjadi bangunan tiga tingkat.

“Ada orang bertanya kenapa saya sanggup ‘merosakkan’ rumah yang telah sedia cantik semata-mata untuk menternak burung walet tetapi bagi saya kalau sudah minat semua itu tidak menjadi masalah,” ujarnya.
Menurut Abdul Hamid, pada awal tuaian sarang burung tersebut, ia tidak dijual sebaliknya diberi kepada rakan-rakan, hanya selepas beberapa kali tuaian sarang itu barulah dia menjualnya kepada pembekal dari sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Kuala Lumpur.
Seorang lagi pengusaha, Khor See Hock, dari Kampung Jejawi Endol, Simpang Empat, sudah mengusahakan penternakan burung walet sejak lima tahun lalu.

Dia telah menghabiskan kira-kira RM200,000 untuk mendirikan bangunan sarang burung walet di samping pembelian peralatan lain seperti pembesar suara.
Katanya, dia menjual sarang burung walet dengan harga RM4,000 sekilogram tidak termasuk upah membersihkan sarang burung mencecah RM1,000 sekilogram.




Sementara itu, dalam menggalakkan industri itu, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) turut mengenakan nilai yuran yang rendah iaitu RM200 setahun dengan borang permohonan percuma.
Yang Dipertua MPK, Rosley Mat berkata, mengikut bancian, hampir 250 pusat ternakan burung walet haram terdapat di Perlis.
Menurutnya, jika tidak dikawal, seluruh negeri Perlis akan dipenuhi dengan pusat ternakan burung tersebut yang akan turut mengganggu penduduk setempat.


”Sebagai jalan penyelesaian kepada para pengusaha industri tersebut yang semakin banyak tumbuh tanpa kawalan dan pemantauan, kita telah menyediakan satu lesen khas bagi membolehkan mereka menjalankan industri tersebut,” katanya.


Pemangsa Rumah Burung Walit

Mengatasi masalah pemangsa dalam rumah burung walit.

Ancaman atau ganguan yang selalu terdapat didalam rumah burung walit. Apakah musuh-musuh tersebut dan bagaimana untuk mengatasinya.

Masalah terbesar rumah burung walit ialah manusia. Pencuri atau perompak adalah pemangsa utama. Pencuri sarang burung walit bukan pencuri biasa. Mereka adalah profesional. Mereka bukan sahaja datang dengan kereta mewah tetapi dengan peralatan canggih juga. Membawa alat pemotong gas untuk memecah masuk pintu besi. Oleh itu pintu besi seharusnya dilapisi dengan plywood tebal didalamnya supaya pemotong gas ini tidak berfungsi. Didalam rumah walit seharusnya tidak ditinggalkan tangga yang memudahkan pencuri memungut sarang. Pencuri juga boleh masuk melalui lubang masuk burung mengunakan tali ala spiderman. Oleh itu design lubang masuk seharusnya menyulitkan pencuri memboloskan diri melalui lubang ini.



Bila mengupah pengawal keselamatan hendak terdiri dari mereka yang mempunyai integriti dan berkebolehan. Jika mampu disarankan juga pemilik rumah burung walit menggunakan kaedah kebatinan untuk tujuan tersebut.

Pemangsa semulajadi bagi burung walit terdapat dalam dua keadaan. Pertama pemangsa anak-anak burung dan induknya. Kedua adalah pemangsa sarang burung walit. Cicak, lipas, dan semut adalah pemakan sarang burung walit. Ini dapat diatasi dengan pengunaan racun dan membersihkan tempat pembiakan pemangsa ini. Tikus adalah masalah utama kepada rumah walit yang bersambung dengan rumah kediaman. Penggunaan racun tikus dapat membantu masalah ini. Tetapi belum tentu terjamin kerana lama-kelaman racun tidak lagi dimakan oleh tikus rumah. Penutupan lubang kecil yang mungkin dapat dibolosi oleh tikus adalah kaedah yang terbaik. Bagi rumah burung walit yang dindingnya dilapisi oleh polisterin perlu berhati-hati kerana tikus dapat menyelinap dalam polisterin ini.




Helang, sesewah, burung hantu, biawak, ular adalah pemangsa burung yang sukar dikawal. Cara terbaik untuk mengawalnya ialah dengan menembaknya menggunakan pemburu upahan. Pemangsa ini perlu dijauhi dari kawasan rumah burung walit. Bagi mengatasi biawak tidak ada masalah sangat. Rumah burung boleh di tanpal dengan zink atau aluminium dikelilingnya agar biawak tidak boleh memanjat melalui dinding.


Walit - Dilema, Perlesenan & Kerajaan

Garis Panduan Walit Libatkan Empat Kementerian

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Garis Panduan Industri Burung Walit (1GP) mengambil masa untuk dibentang ke Kabinet kerana ia melibatkan empat kementerian, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Noh Omar.

Noh berkata selain kementerian yang diterajuinya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Kementerian Kesihatan juga terlibat dalam penggubalan garis panduan itu.

"Tunggulah... Kita akan umum selepas ia diluluskan (Kabinet)," kata Noh kepada Bernama di lobi Parlimen mengenai perkembangan terkini garis panduan bagi pembangunan industri sarang burung yang bernilai RM1.5 bilion setahun itu.

Garis panduan itu disediakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) selaku agensi peneraju bagi pembangunan industri burung walit di negara ini.

Sebelum ini, Noh dilaporkan berkata 1GP akan dibentang ke Kabinet pada Mac ini.

Dianggarkan terdapat 50,000 premis burung walit di seluruh negara dengan kebanyakannya dibina di rumah-rumah kedai di kawasan bandar menimbulkan kebimbangan penduduk setempat mengenai masalah bau, bunyi dan penyakit.

Ketua Pengarah JPV Datuk Dr Abdul Aziz Jamaluddin sebelum ini berkata pelaksanaan garis panduan holistik itu akan menyelesaikan semua masalah berbangkit.

Abdul Aziz berkata ia akan menjadi garis panduan pertama seumpamanya di rantau ini bagi mengawal selia pembangunan industri burung walit itu daripada aspek perlesenan, persampelan, pengeluaran hinggalah pengeksportan sarang burung itu.

Ketika ini masalah perlesenan rumah burung dilihat membantutkan perkembangan industri itu terutama di Pulau Pinang, Melaka dan Sarawak, yang antara lain melibatkan rumah burung dibina dalam kawasan warisan (Pulau Pinang dan Melaka)dan peruntukan undang-undang melarang premis burung dibina di kawasan bandar seperti di Sarawak.

Sarang burung walit mendapat permintaan yang tinggi di China di mana sup sarang burung itu dilihat menjadi pengukur kepada status seseorang individu, menjelaskan kenapa harganya mencecah RM4,000 sekilogram.



Dilema Industri Sarang Burung Walit Sarawak

Oleh Syed Azwan Syed Ali



KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Tanpa diketahui umum, industri sarang burung walit kini mencecah RM1 bilion setahun selepas migrasi besar-besaran spesies burung itu dari Indonesia, kira-kira 10 tahun lepas.

Jumlah itu dijangka meningkat ekoran permintaan berterusan dari negara China di mana sup sarang burung sangat popular dalam kalangan rakyatnya selain turut menjadi "pengukur" kepada status individu.

Malaysia merupakan negara pengeluar sarang burung ketiga terbesar di dunia selepas Indonesia dan Thailand dengan purata lebih 12 tan sarang burung dihasilkan dalam sebulan.

Malah sarang burung walit atau aerodramus fuciphagus (edible-nest swiftlet dan black-nest swiftlet atau "aerodramus maximus" yang terdapat di Malaysia adalah yang terbaik dari segi kualitinya.



ISU PERLESENAN RUMAH BURUNG BANTUTKAN INDUSTRI

Namun beberapa isu timbul sejak kebelakangan ini termasuk masalah perlesenan lebih 1,500 rumah burung walit di Sarawak menjejaskan perkembangan industri yang berpotensi besar ini.

Jika di Semenanjung Malaysia premis burung walit dibenarkan dibina di rumah kedai dan lot komersil di bandar mengikut syarat tertentu, premis yang sama tidak dibenarkan di kawasan bandar di negeri itu.

Ini kerana Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 Sarawak tidak membenarkan burung walit diternak di kawasan bandar.

Negeri itu juga tidak mempunyai garis panduan penternakan burung berkenaan yang membolehkan rumah burung dibina di kawasan bandar seperti mana di Semenanjung.

Peraturan Perlindungan Hidupan Liar (Sarang Burung Boleh Dimakan) 1998 dan Peraturan Perlindungan Hidupan Liar 1998 juga menjelaskan bahawa spesies itu hanya boleh diternak di tanah pertanian di kawasan luar bandar selain habitat asalnya seperti gua.

"Sepatutnya kerajaan negeri menyokong industri ini dan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk mewujudkan garis panduan penternakan burung walit," kata Dr Koh Ung Leong kepada Bernama ketika ditemui di Sibu baru-baru ini.

Doktor veterinar itu berkata burung walit mempunyai nilai ekonomi tinggi, meningkatkan nilai hartanah setempat dan menjadi alternatif kepada petani dan nelayan untuk mengusahakannya secara serius.

Tinjauan Bernama mendapati terdapat banyak rumah burung dibina dan rumah kedai diubahsuai menjadi rumah burung di bandar berhampiran pesisir pantai seperti di Mukah, Sibu, Sarikei dan Bintulu.

Sebelum ini persatuan pedagang sarang burung walit di negeri itu merayu campur tangan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk menyelesaikan masalah itu selepas tindakan penguatkuasaan bermula Oktober tahun lepas di Mukah.



STATUS TERKINI PERLESENAN

Sehingga hari ini daripada lebih 1,500 premis burung walit yang ada, hanya dua premis diberikan lesen oleh pihak berkuasa. Ini bermakna 99.8 peratus rumah burung walit di negeri itu ialah premis haram.

"Kami berharap kerajaan negeri akan menyediakan garis panduan yang sama seperti di Semenanjung. Kami akan memberikan kerjasama penuh kepada kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu ini," kata pengerusi protem Persatuan Perdagangan Sarang Burung Walit Sarikei Wong Hua Ting.

Dalam isu ini, kerajaan negeri dilihat mempunyai dua pilihan sama ada memusatkan penternakan burung walit ke sesebuah kawasan melalui pembinaan eko-park atau mengadaptasi garis panduan penternakan burung walit.

"Mustahil untuk memindahkan burung-burung ini. Burung walit bukannya seperti ayam atau itik yang boleh kita tangkap dan pindahkan. Burung-burung ini sudah jadikan rumah burung sebagai hotel tempat bersarang," kata pengerusi Persekutuan Persatuan Pedagang Sarang Burung Malaysia Datuk Beh Heng Seong.

Difahamkan sehingga hari ini belum ada kaedah memindahkan burung walit yang juga spesies yang dilindungi di bawah Akta Hidupan Liar 1972. Ini menjadikan usaha memindahkannya, terutama anak burung, adalah mustahil tanpa risiko "membunuh" burung itu.

Persoalannya bagaimanakah kerajaan negeri terutama Jabatan Hutan Sarawak dan Perbadanan Perhutanan Sarawak akan menangani isu ini tanpa mengenepikan kepentingan semua pihak termasuk pemilik rumah burung?



PENDIRIAN JABATAN

Ketua Pengarah Jabatan Hutan Sarawak yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perhutanan Sarawak Datuk Len Talif Salleh menegaskan bahawa pembangunan industri ini perlu dilakukan secara sistematik mengikut undang-undang sedia ada.

"Kebanyakan yang minta lesen adalah di bandar yang mengikut definisi undang-undang, mereka tidak layak," kata Len Talif mengenai risiko epidemik seperti selesema burung menyebabkan kenapa kerajaan negeri tidak membenarkan penternakan burung itu di bandar.

Beliau berkata pihaknya juga menerima aduan daripada orang ramai mengenai masalah bau dan bunyi bising pembesar suara yang dipasang di premis burung itu bertujuan memanggil burung walit singgah bersarang.

Len Talif juga mendakwa pembinaan rumah burung di kawasan bandar turut menjejaskan perniagaan sesetengah pihak terutama mereka yang menjual makanan di restoran atau gerai berdekatan.

"Sepatutnya pembinaan rumah burung di bandar tidak dibenarkan kerana melanggari undang-undang," katanya sambil menjelaskan bahawa kerajaan negeri akan membina eko-park dan memberikan lesen kepada individu berminat membina rumah burung di atas tanah pertanian di luar bandar.



RAYUAN PEMILIK RUMAH BURUNG

Kebanyakan pemilik rumah burung melihat masalah birokrasi memohon lesen melibatkan agensi berkaitan seperti pejabat tanah, pihak berkuasa tempatan, Sarawak Planning Autority (SPA) dan Perbadanan Perhutanan Sarawak merumitkan keadaan.

Ketiadaan jaminan burung bersarang di eko-park dan premis burung baru juga menyebabkan kenapa mereka mahu kerajaan negeri menggunapakai garis panduan mengikut Amalan Baik Penternakan Haiwan (GAHP) untuk burung walit, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

GAHP, yang merupakan antara syarat lesen di Semenanjung, menetapkan spesifikasi tertentu bagi memastikan premis burung walit dibina kondusif dan mesra alam selain menetapkan had bunyi tidak melebihi 40 desibel dengan corong 60 darjah menghala ke langit bagi mengatasi masalah bunyi.

"Kita bercakap tentang "1Malaysia" maknanya undang-undang yang sama. Kenapa kerajaan negeri tidak terima garis panduan itu,? soal pedagang sarang burung walit dari Mukah, John Low.

Beliau merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini yang menggalakkan rakyat, terutama kaum Bumiputera, menceburi bidang penternakan burung walit yang mampu menjana ekonomi tempatan.

Pengerusi protem persatuan pedagang sarang burung Mukah, Philip Tiong, pula meminta pihak berkuasa mengadakan dialog dengan pemilik rumah burung untuk menyelesaikan isu itu dan bukannya "dialog" sehala yang menyuruh mereka berpindah.



DAKWAAN MONOPOLI INDUSTRI SARANG BURUNG

Namun apa yang menarik beberapa pemilik rumah burung yang enggan dikenali mendakwa pembinaan eko-park termasuk di Mukah adalah cubaan pihak tertentu untuk memonopoli industri itu.

Ini kerana sekilogram sarang burung boleh mencecah RM4,000 dan jumlah itu meningkat sekurang-kurangnya sekali ganda selepas ia diproses untuk diimport ke negara luar seperti China, Hong Kong dan Korea.

Jika daerah Mukah mampu mengeluarkan lebih 100 kilogram sarang burung yang bernilai RM400,000 sebulan, bayangkan jumlah pendapatan yang mampu dijana lebih 40 ribu rumah burung yang bertaburan di seluruh negara.

Walaupun dakwaan monopoli itu masih belum dibuktikan, pihak terbabit perlu memberi perhatian kepada perkara seumpama itu yang boleh membantutkan hasrat kerajaan memajukan industri sarang burung selain kebimbangan terhadap ancaman penyakit.

Ketua Unit Walit Dr Fadzilah A'ini Abdul Kadir berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar, yang menjadi agensi peneraju industri sarang burung negara, sentiasa memantau perkembangan industri itu dari semasa ke semasa.


Sehingga hari ini, lebih 5,000 sampel burung walit yang diuji Jabatan Perkhidmatan Veterinar sejak tiga tahun lepas didapati bebas daripada selesema burung dan penyakit sampar ayam, kata Dr Fadzilah.

Wednesday, July 31, 2013

SIAP - Bersedia dipasarkan

Alhamdulillah syukur setelah berhempas-pulas sejak kebelakangan ini, akhirnya berbaloi dengan siapnya produk terbaru dari kami, Minuman Buah-Buahan

ANGKASAA


Minuman buah-buahan dengan 3 variasi rasa iaitu orange, cantaloupe dan strawberry bersedia untuk dipasarkan.. 


Tengok label ANGKASAA baru beli k, takut tersilap beli brand lain nanti kempunan pulak nk merasa minuman kami, hehehe


Comey x kami?? kehkeh


kami hasilkan yang terbaik untuk anda