KITA berpantang dan
mengawal tabiat makan apabila diserang penyakit. Lebih teruk jika doktor hanya
membenarkan kita makan dalam kuantiti sedikit atau makanan tertentu.
Hakikatnya, amalan
mengawal tabiat pemakanan selepas jatuh sakit adalah tindakan salah. Kita patut
mengawal pemakanan seawal usia remaja, bukan apabila memasuki fasa 40-an.
Tabiat pemakanan yang
boleh diteladani ialah mengikut sunah Rasulullah s.a.w. Jika dikaji, amalan
pemakanan baginda amat bertepatan dengan al-Quran bermaksud:
“… makan dan
minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan…”
(Surah al-A’raf, ayat
31).
Petua menjaga
kesihatan cara Rasulullah turut mengambil kira sistem tubuh manusia. Sebagai
mesin, ia memerlukan bahan bakar iaitu makanan untuk membolehkannya
melaksanakan kerja, tetapi kuantiti makanan yang masuk ke perut mesti dikawal.
Sebenarnya, menjaga
dan mengawal perut daripada makan terlalu banyak adalah kaedah pencegahan
penyakit yang berkesan. Sebab itu ramai ilmuwan perubatan dan tabib zaman
lampau sering bermadah ‘lapar itu ubat’.
Mengambil makanan
dalam kuantiti banyak adalah amalan buruk kerana ia memberatkan organ dan
sistem pencernaan sehingga ia lemah dan tidak mampu mencerna secara teratur dan
berkesan. Makanan dalam jumlah yang banyak menyebabkan pelbagai penyakit.
Justeru, kaedah rawatan dan pencegahan penyakit yang terbaik sepatutnya bermula
dari perut – pastikan kuantiti dan jenis makanan yang masuk ke perut terkawal.
Nabi Muhammad ada
menyebut ‘perut adalah tempat bermula pelbagai penyakit’. Selain kuantiti
makanan, petua kesihatan Nabi turut mengambil kira isi padu makanan.
Baginda lebih
mengutamakan makanan lembut, terutama jika baru sembuh atau melalui proses
pemulihan. Dalam satu hadis daripada Siti Aisyah r.a, beliau berkata: “Jika
Rasulullah diberitahu si fulan sakit dan tidak ada nafsu makan, baginda
bersabda: Berikanlah kepadanya ‘talbiinah’! Kata baginda lagi, Demi Allah, ia
mencuci perut seseorang seperti kamu membersihkan mukamu daripada kotoran!”
Talbiinah ialah
sejenis makanan masyarakat Arab menyerupai bubur atau susu. Ia lembut dan tidak
membebankan perut. Bagi kita di sini, mungkin oat dicampur susu sesuai sebagai
makanan yang lembut dan tidak membebankan perut serta fungsi pencernaan.
Makanan ini juga kaya
serat dan banyak membantu proses penghadaman.
Disiplin pemakanan
yang diamalkan Rasulullah biasanya mengelak makanan itu mendatangkan penyakit
kepada individu yang sihat, manakala bagi mereka yang mengalami masalah
kesihatan, ia mengelak penyakit menjadi semakin serius.
Contoh peristiwa Nabi
Muhammad s.a.w mengajar pemilihan makanan ketika sakit ialah sebagaimana hadis
riwayat Ibnu Maajah dari Ummul Mundzir Qois al Anshoriyah, katanya:
“Suatu hari
Rasulullah berkunjung ke rumah kami bersama Ali k.a yang ketika itu baru sembuh
daripada sakit. Kami mempunyai buah daliah (sejenis buah-buahan di tanah suci),
lalu Rasulullah mengambil dan memakannya dan Ali juga memakannya.
“Baginda berkata
kepada Ali: Engkau baru saja sembuh daripada sakit. “Lalu Ali berhenti
memakannya. Kemudian saya buatkan masakan dari gandum dan saya berikan kepada
mereka berdua, maka Rasulullah s.a.w bersabda: Ali, nah, ini lebih sesuai
bagimu!”
Larangan Rasulullah
kepada Ali yang baharu sembuh daripada sakit agar tidak memakan daliah
sebagaimana dalam hadis di atas adalah kaedah pencegahan atau berpantang.
Buah-buahan yang sifatnya mudah terurai mungkin memberi mudarat bagi mereka
yang baru sembuh.
Ketika baru pulih
daripada sakit, perut belum cukup kuat kerana ia sibuk bekerja menghakis sisa
penyakit dari dalam perut dan badan.
Sebaliknya,
Rasulullah menggalakkan Ali mengambil masakan daripada gandum kerana air
daripada gandum itu dapat menguatkan tubuh. Namun, baginda membenarkan
pengambilan makanan yang tidak sesuai, tetapi dalam kuantiti sedikit sekadar
menghilangkan keinginan. Perkara menarik
mengenai kaedah makanan seimbang yang diajarkan Rasulullah ialah baginda tidak
membataskan pada satu jenis makanan saja. Contohnya, baginda menyeimbangkan
makanan bersifat panas dengan sejuk.
Dari segi komposisi makanan, baginda tidak
pernah mengambil susu dan ikan atau susu dan telur atau daging dan susu atau
antara makanan yang kedua-duanya mempunyai sifat panas atau sifat dingin
serentak. Baginda juga tidak mengambil dua jenis makanan yang mempunyai sifat
cepat dicernakan dan lambat dicernakan, serentak. Rasulullah tidak
mengambil makanan yang masih dalam keadaan panas atau makanan yang disimpan
semalaman, makanan awet atau diasinkan seperti acar kerana semua itu
memudaratkan kesihatan.
Kita juga patut
mengelak mengambil makanan segera dan minuman berkarbonat, walaupun sedap,
tetapi memudaratkan apatah lagi mengandungi perasa tiruan dan sintetik. Rasulullah gemar
makanan yang mengandungi unsur manis semula jadi dan madu malah baginda suka
mengambil buah-buahan sebagai makanan tambahan.
Mengenai madu, Nabi
mempunyai disiplin pengambilan madu yang baik untuk dicontohi, iaitu
mengambilnya pada waktu pagi sebelum sarapan. Madu dicampurkan
dengan air dingin sebelum diminum. Ini bertujuan mencairkan lendir dan
membersihkan sistem pencernaan.
Selain jenis dan
kuantiti makanan, satu aspek lain penjagaan kesihatan Rasulullah s.a.w ialah
cara baginda duduk ketika makan, iaitu dalam posisi ‘mutawarikan’, iaitu
meletakkan pinggul pada kedua-dua tumit dan menempatkan telapak kaki kiri di
atas punggung kaki kanan.
Postur badan penting
dalam menentukan kebaikan ketika pengambilan makanan. Contohnya, baginda
melarang
makan sambil
bersandar sebagaimana sabdanya bermaksud: “Saya tidak makan sambil bersandar.” Baginda juga melarang
minum sambil berdiri, kecuali jika dalam keadaan terpaksa. Baginda mempunyai
disiplin khusus dari segi minuman.
Berdasarkan petunjuk
Nabi s.a.w, makruh minum selepas melakukan olahraga atau sebaik selesai
melakukan sesuatu kerja berat atau sebaik habis makan atau sebelum makan. Semua
itu tidak baik untuk kesihatan. Sebaliknya, biarkan beberapa detik berlalu
apabila selesai aktiviti berat atau makan, kemudian minum.
Rasulullah s.a.w
mempunyai petua unik ketika minum. Dalam satu hadis dari Anas bin Malik
bermaksud: “Rasulullah minum dengan tiga kali nafas. Baginda berkata: Hal itu
lebih melegakan dan lebih menyihatkan.”
Maksud bernafas tiga
kali ketika minum ialah dengan menjauhkan bekas atau cawan dari mulut, lalu
bernafas atau seolah-olah menghisap air yang sedang diminum. Larangan bernafas
di dalam gelas ketika minum ditemui dalam hadis bermaksud:
“Jika seseorang di antara
kalian minum maka janganlah bernafas di dalam gelas minuman, tetapi hendaklah
direnggangkannya dari bibir.”
Dan, pasti yang
paling penting dan mungkin dilupakan kita apabila makan atau minum ialah
membaca ‘basmalah’ (membaca Bismillah) dan mengucapkan ‘hamdalah’
(Alhamdulillah) apabila selesai. Ia banyak keberkatan dari segi kesihatan.
Rahsia besar
Rasulullah s.a.w yang patut menjadi teladan ialah baginda tidak pernah mencela
makanan yang tidak disukainya atau kurang enak. Ini terkandung di dalam hadis
bermaksud:
“Anas berkata:
Rasulullah tidak pernah mencela makanan. Jika berselera dimakannya, dan jika
tidak maka ditinggalkannya.”
Justeru, semua orang
tidak wajar menunggu hari tua atau berusia lewat 40-an untuk memulakan amalan
pemakanan sihat. Mulakanlah sekarang!
Kepentingan menjaga
pemakanan dapat difahami daripada hadis Nabi saw yang diriwayatkan at-Turmudzi
dari Abdullah al-Ashory, Rasulullah saw bersabda bermaksud:
“Sesiapa dalam
keadaan badan sihat, aman dalam penghidupan dan ia memiliki makanan sehari-hari
yang cukup, maka seolah-olah dunia ini miliknya.”
No comments:
Post a Comment