Saturday, August 3, 2013

Walit - Artis Pun Berminat

Selepas kukuh dalam kerjaya lakonan, pelakon Fouziah Gous memberanikan diri mencuba bidang yang jarang dilakukan oleh golongan Melayu iaitu perusahaan industri sarang burung walit.

Fouziah berkata, dia telah mempelajari selok belok perniagaan sarang burung walit selama setahun dan ingin mengajar masyarakat Melayu tentang kebaikannya yang diterajui oleh golongan bangsa Cina sejak dahulu lagi.

“Perniagaan sarang burung walit antara perniagaan yang sangat menguntungkan. Bagi orang Cina, sarang burung ini adalah emas.

“Saya telah menjalani beberapa kursus dan mempelajari mengenai apakah burung Walit itu sehingga ia menghasilkan sarang.



“Kalau boleh, saya mahu mendidik golongan Melayu untuk mengenali perniagaan ini lebih-lebih lagi ia digunakan sebagai makanan kesihatan untuk mata, asma serta agen terbaik memulihkan sistem pernafasan dan memperkuatkan paru-paru,” katanya.

Tambah Fouziah, sarang burung Walit juga adalah pemangkin pertumbuhan sel, kulit dan penggunaan sarang burung secara jangka panjang akan mencantikkan permukaan kulit.

Dalam pada itu, Fouziah yang menjadi pengedar di bawah nama My Walet Bird Nest, akan mengedarkan produknya itu ke beberapa farmasi dan setakat ini ia masih lagi dalam persiapan label sebelum ianya dilancarkan.


“Tidak sabar rasanya mahu memasarkan produk ini kerana ia benar-benar bagus. Memperkenalkan produk ini kepada orang Melayu juga merupakan satu cabaran buat saya, diharapkan ia berjaya,” tuturnya bersemangat.



No comments:

Post a Comment