Hari Malaysia
Daripada Wikipedia,
ensiklopedia bebas.
Akta Malaysia 1963
(dokumen)
Perjanjian berkenaan
dengan penubuhan perlembagaan Malaysia (dokumen)
Hari Malaysia
disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan
persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan
penyertaan bersama Tanah Melayu, Borneo Utara (kini Sabah), Sarawak dan
Singapura bagi membentuk Malaysia.
Pembentukan
persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya
ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan
sambutan hari kemerdekaan ke-6. Beberapa isu berkaitan dengan bantahan
Indonesia dan Filipina untuk pembentukan Malaysia memperlambatkan
pengisytiharan hingga ke 16 September pada tahun yang sama. Penangguhan itu
juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan
masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan
Sarawak.
Hari Malaysia
merupakan cuti am di negeri Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua
Negeri. Walupun pada awalnya Hari Malaysia bukan merupakan cuti am di Sarawak
dan Semenanjung Malaysia, namun mulai tahun 2010, Hari Malaysia juga merupakan
cuti am di semua negeri di Malaysia.
Pemasyhuran Malaysia
Perdana Menteri Tunku
Abdul Rahman membacakan Pemasyhuran Malaysia di Stadium Merdeka pada pagi 16
September 1963. Berikut adalah teks pemasyhuran yang dibaca beliau:
Pemasyhuran Malaysia
Dengan nama Allah
Yang Maha Murah lagi Maha Mengasihani. Segala puji-pujian bagi Allah Tuhan seru
sekalian alam dan selawat dan salam bagi junjungan kita Nabi Muhammad dan bagi
sekalian keluarga serta sahabat-sahabatnya.
Bahawasanya oleh
kerana suatu Perjanjian yang diperbuat pada Sembilan hari bulan Julai tahun
Seribu Sembilan Ratus Enam Puluh Tiga antara Persekutuan Tanah Melayu, United
Kingdom, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura maka telah dipersetujui bahawa
hendaklah disekutukan Negeri Sabah, Negeri Sarawak dan Negeri Singapura dengan
Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi Negeri Pahang, Negeri Terengganu,
Negeri Kedah, Negeri Johor, Negeri Sembilan, Negeri Kelantan, Negeri Selangor,
Negeri Perak, Negeri Perlis, Negeri Pulau Pinang dan Negeri Melaka dan bahawa
Persekutuan itu hendaklah dinamakan “Malaysia”.
Dan bahawasanya oleh
kerana pihak-pihak dalam Perjanjian yang tersebut telah bersetuju bahawa mulai
daripada penubuhan Malaysia maka Negeri Sabah, Negeri Sarawak dan Negeri
Singapura hendaklah tamat daripada menjadi jajahan takluk Duli Yang Maha Mulia
Baginda Queen dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tiada lagi mempunyai
kedaulatan dan kuasa dalam ketiga-tiga buah Negeri itu.
Dan bahawasanya oleh
kerana telah dimasyhurkan suatu Perlembagaan bagi Malaysia yang akan menjadi
kanun yang muktmmad didalamnya;
Dan bahawasanya oleh
kerana Perlembagaan yang tersebut itu telah diadakan syarat bagi menjaga
keselamatan hak-hak dan keutamaan-keutamaan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja
serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan bagi mengekalkan keamanan
dan kemesraan di dalam Malaysia sebagai Kerajaan yang mempunyai Raja yang
berperlembagaan dan yang berdasarkan demokrasi cara berparlimen.
Dan bahawasanya oleh
kerana Perlembagaan yang tersebut itu telah disahkan oleh suatu undang-undang
yang diluluskan oleh Parlimen Persekutuan Tanah Melayu dan Parlimen United
Kingdom maka telah berjalanlah kuatkuasa Perlembagaan itu pada Enam Belas hari
bulan September tahun Seribu Sembilan Ratus Enam Puluh Tiga.
Maka dengan nama
Allah Yang Maha Murah lagi Maha Mengasihani, saya Tunku Abdul Rahman Putra ibni
Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri Malaysia dengan
persetujuan dan perkenan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong, Yang Terutama Yang di-Pertuan Negeri Singapura, Yang Terutama
Yang di-Pertua Negara Sabah dan Yang Terutama Gabenor Negeri Sarawak dengan ini
mengistihar dan memasyhurkan bagi pihak umat Malaysia bahawa mulai daripada
Enam Belas hari bulan September tahun Seribu Sembilan Ratus Enam Puluh Tiga
bersamaan dengan Dua Puluh Lapan hari bulan Rabiul Akhir tahun Hijrah Seribu
Tiga Ratus Lapan Puluh Tiga, Malaysia yang mengandungi Negeri Pahang, Negeri
Terengganu, Negeri Kedah, Negeri Johor, Negeri Sembilan, Negeri Kelantan,
Negeri Selangor, Negeri Perak, Negeri Perlis, Negeri Pualu Pinang, Negeri
Melaka, Negeri Singapura, Negeri Sabah dan Negeri Sarawak dengan izin dan
kehendak Allah Rabbul–Alamin akan kekal menjadi sebuah Negara demokrasi yang merdeka
lagi berdaulat serta berasaskan kebebasan dan keadilan dan sentiasa
mempertahankan serta memelihara keamanan dan kemesraan umatnya dan mengekalkan
keamanan di antara segala bangsa di dunia ini.
No comments:
Post a Comment